|
Bantahan yang dilontarkan oleh sesetengah pihak terhadap akta (ISA) yang kononnya Islam tidak mengharuskan akta tersebut diadakan kerana tanpa bicara di Mahkamah merupakan satu kezaliman. Kata-kata tersebut adalah hasil daripada kegagalan mereka dalam memahami perbezaan dan fungsi antara dua kuasa, iaitu kuasa eksekutif (al-Sultah al-Tanfiziah) dan kuasa perundangan (al-Sultah al-Qada'iyah). Kedua-dua bidang ini mempunyai bidang kuasa dan pendekatan yang berbeza dalam menjalankan fungsi masing-masing disebabkan peranan dan tanggungjawab yang berbeza.
Para ulama yang muktabar telah membicarakan berkenaan system politik Islam atau "al-siasah al-Syar'iyyah" dengan menghuraikan peranan serta bidang kuasa ketua negera dalam menjalankan tugasnya. Al-Imam al-Qarafi menyatakan: Pemerintah adalah orang yang diserahkan kepadanya mentadbir seluruh urusan rakyat, menjaga kepentingan umum dan membanteras segala yang merosakkan, mengekang penjenayah, membunuh penderhaka dan menguruskan penempatan rakyat dalam Negara dan perkara-perkara lain yang seumpama dengannya."
Al-Imam al-Juwaini menyatakan bahawa antara tanggungjawb pemerintah ialah: Memelihara akidah daripada amalan agama umat Islam sejauh mana yang boleh dilakukan, menghapus kekeliruan yang dibawa oleh penyeleweng agama, membanteras amalan bidaah serta penganjur-penganjurnya."
Daripada dua huraian yang dibuat oleh dua orang ulama ini dapatlah disimpulkan bahawa tanggungjawab pemerintah dalam Islam begitu besar dan luas. Ia merangkumi kepentingan-kepentingan yang berkaitan dengan kepentingan-kepentingan yang berkaitan dengan kehidupan dunia dan agama seperti keamanan Negara, keselamatan nyawa dan harta benda penduduk serta kebajikan mereka, keselamatan akidah serta kemudahan menunaikan perintah agama. Bagi melaksanakan tanggungjawab yang besar ini, ketua Negara sudah tentu mempunyai bidang kuasa yang diperlukan tanpa diikat oleh prosedur-prosedur ketat seperti dalam bidang kehakiman. Menjelaskan hal ini, Imam al-Qarafi menyatakan: Ketua Negara mempunyai kuasa kehakiman dan kuasa mengeluarkan arahan. Ia juga boleh melakukan perkara-perkara yang tidak bersifat fatwa dan kehakiman seperti menghimpunkan tentera, mengisytiharkan peperangan, memungut hasil dan membelanjakannya pada tempat yang betul, melantik pegawai-pegawai, membunuh penderhaka, atau dalam bentu Domokrasi sekarang membubar Dewan Rakyat dan megadakan Pilihanraya, iaitu tugas yang banyak dan tidak mampu dilakukan oleh hakim dan juga mufti sahaja.
Antara bidang kuasa yang menjadi tanggungjawab ketua Negara ialah kuasa hisbah. Ini merangkumi tanggungjawab mengeluarkan perintah dan peraturan yang bertujuan menjaga kepentingan umum, menguatkuasakan peraturan-peraturan keselamatan Negara, ketenteraman awam, ekonomi, pengangkutan, perusahaan dan sebagainya.
Menjelaskan kuasa hisbah ini, Ibn Al-Qayyim dalam kitabnya "al-Thuru al-Hukmiyah" menyatakan: Bahawa hukum-hukum yang dijalankan di bawah kuasa hisbah adalah merupakan hukum-hukum syarak. Hukum-hukum tersebut mempunyai kaedah-kaedah pelaksanaan di sisi syarak. Kepentingan umat mungkin tidak dapat dijaga dengan sempurna tanpanya. Pelaksanaan seperti ini tidak memerlukan pendakwaan. Jika prosedur sedemikian tidak diikut, maka kepentingan umat akan musnah dan system pemerintahan akan menjadi kucar kacir. Pihak berkuasa boleh menjalankan kuasa ini berasaskan petanda-petanda dan alamat-alamat yang jelas serta hubung kait yang boleh dijadikan keterangan(Circumstgantial evidence).
Maka di bawah kuasa hisbah ini, pemerintah dalam Islam boleh menahan seseorang tanpa bicara atas sebab kepentingan umum dan keselamatan Negara. Menghuraikan persoalan ini, Dr Saud bin Said ad-Duraib dalam kitabnya "At-tanzim al-Qada'fi al-Mamlakah as-Saudiyyah" menyatakan: Sesungguhnya ketua Negara dengan kuasa eksekutifnya boleh mengeluarkan perintah membekukan harta atau membelanjakannya. Ia moga boleh mengasingkan (memenjara atau istilah sekarang membuang daerah/sekatan terhad) orang yang boleh menimbulkan kekeliruan terhadap masyarakat seperti yang dilakukan oleh Saidina Umar ra terhadap Sobiq bin Asal kerana usahanya mengelirukan orang ramai tentang al-Quran. Pemerintah juga boleh menahan dan membuang daerah sesiapa yang pada pandangannya boleh memudaratkan masyarakat."
Para imam mazhab telah membincangkan persoalan ini dalam kitab-kitab mereka seperti yang disebut oleh As-syatibi dalam kitabnya "Al-I'tisom": Sesungguhnya para ulama berbeza pendapat tentang keharusan memukul tertuduh dengan tuduhan jenayah. Imam Malik berpendapat harus memenjarakan seseorang yang dituduh melakukan jenayah sekalipun pemenjaraan itu merupakan sejenis penyeksaan, malah sebahagian ulama Maliki berpendapat bahawa pukul juga diharuskan. Hukum ini pada pandangan ulama Maliki samalah dengan hukum yang menetapkan supaya tukang yang mengambil upah perlu menggantikan bahan yang diserahkan kepadanya oleh pelanggan (jika rosak atau hilang), kerana tanpa pukul dan penjara ketika ada tuduhan yang kuat, tidak mungkin dapat dikembalikan harta daripada tangan pencuri dan perompak. Ini memandangkan bukti keterangan kadang-kadang sukar diadakan, maka terdapat kepentingan umum untuk mengenakan seksaan terhadap tertuduh sebagai cara mendpatkan kembali harta yang dicuri dengan menunjukkan harta tersebut disembunyikan dan membuat pengakuan."
As-Syatibi seterusnya menolak anggapan bahawa undang-undang seperti ini boleh membuka pintu penyeksaan kepada orang yang tidak bersalah dengan katanya: Jika dikatakan cara ini membuka ruang bagi menyeksa orang yang tidak bersalah. Maka jawapannya ialah: Tanpa berbuat demikian harta benda tidak dapat dikembalikan kepada pemiliknya. Malah tidak melaksanakan seksaan seperti itu lebih besar mudaratnya.
Sebenarnya seseorang itu tidak diseksa dengan wujudnya dakwaan semata-mata, sebaliknya perlu disertai dengan petanda-petanda (qarinah) yang kuat dalam diri hingga menimbulkan sangkaan yang kuat di dalam hati. Jadi seksaan pada lazimnya tidak menimpa orang yang tidak bersalah dan jika pun terkena, ia dimaafkan seperti dimaafkan pada hukum mewajibkan ganti ke atas tukang-tukang yang merosakkan barang pelanggan."
Al-Mawardi dalam kitabnya: "Al-ahkam as Sultaniyah" menyatakan bahawa tindakan yang sedemikian hanyalah boleh diambil oleh Amir iaitu kuasa eksekutif. Manakala 'Qadi' atau hakim hanya boleh mengenakan hukuman seksaan setelah disabit tuduhan dalam perbicaraan di mahkamah mengikut prosedur keterangan yang ditetapkan oleh undang-undang.
Adalah jelas daripada perbincangan para ulama ini, jika penahanan tanpa bicara harus dalam kes harta benda, maka dalam kes-kes yang membabitkan keamanan dan keselamatan Negara adalah lebih utama tindakan sedemikian diharuskan. Malah jika pemerintah berpendapat bahawa tanpa penggunaan ISA, keamanan dan keselamatan Negara akan terjejas, maka pada ketika itu penggunaannya adalah wajib. Ini ialah berasaskan satu kaedah usul feqah yang berbunyi: "Apa-apa perkara yang tidak sempurna perkara yang wajib melainkan dengannya, maka perkara itu adalah wajib."
Menyingkap kembali "Amanat Haji Hadi" yang membewa kepada perpecahan yang amat sangat. Antara kandungannya ialah:
| Kita tidak payah masuk Yahudi | Kita tidak payah masuk Kristian |
| Kita tidak payah masuk Hindu | Kita tidak payah masuk Budha |
| Tetapi kita menjadi kafir dengan mengatakan; Politik suku agama suku |
Amanat ini sebenenarnya berbentuk fatwa, walaupun dinafikan sebagai fatwa kerana yang dimaksudkan dengan fatwa ialah:
Memberitahu hukum Allah SWT berasaskan dalil dalam sesuatu perkara yang berlaku. Menurut Ibn al-Qayyim, fatwa tanpa berpandu kepada ilmu mengenainya merupakan dosa yang paling besar dalam Islam, sebagaimana Sabda Rasulullah s.a.w. yang berbunyi:
(Teks Arab tidak ditulis, dibimbangkan Komputer anda tidak boleh membaca Teks Arab dan mengelak tercicir apabila dicetak semula)
Maksudnya: Sesiapa yang memberi fatwa tanpa berpandu kepada ilmu, ia dilaknat oleh Malaikat di langit dan di bumi. (Hadith Riwayat Ibn Asakir)
(Teks Arab tidak ditulis, dibimbangkan Komputer anda tidak boleh membaca Teks Arab dan mengelak tercicir apabila dicetak semula)
Maksudnya: Sesiapa yang memperkatakan tentang hukum yang terdapat dalam al-Quran tanpa berpandukan kepada ilmu, maka hendaklah ia bersedia mengambil tempatnya dalam neraka. (Hadith Riwayat al-Tirmizi)
(Teks Arab tidak ditulis, dibimbangkan Komputer anda tidak boleh membaca Teks Arab dan mengelak tercicir apabila dicetak semula)
Maksudnya: Orang yang berani memberi fatwa dari kalangan kamu, dialah yang paling berani mengharung api neraka. (Hadith Riwayat Ad-Darami)
Berdasarkan pengertian-pengertian yang disebut di atas ini, maka para ulama Salaf(dahulu) amat takut dan sangat berhati-hati dalam mengeluarka fatwa. Imam Malik berkata: "Sesiapa yang ditanya tentang sesuatu masalah hukum, sebelum ia memberi jawapan perlulah baginya terlebih dahulu memperingatkan dirinya; bahawa fatwanya itu akan menentukan nasibnya sama ada ke syurga atau ke neraka.
Jika fatwa mengenai halal dan haram pun begitu besar bahaya pada pandangan Islam, maka fatwa mengenai akidah membabitkan kekufuran seseorang sebagaimana yang difatwakan oleh Haji Hadi itu tentu lebih besar bahaya dan dosanya. Sila lihat hadith Nabi riwayat Muslim:
(Teks Arab tidak ditulis, dibimbangkan Komputer anda tidak boleh membaca Teks Arab dan mengelak tercicir apabila dicetak semula)
Maksudnya: Apabila seseorang muslim mengkafirkan muslim yang lain, maka salah seorang daripadanya menjadi kafir.
(Teks Arab tidak ditulis, dibimbangkan Komputer anda tidak boleh membaca Teks Arab dan mengelak tercicir apabila dicetak semula)
Maksudnya: Semoga selepas ini tidak ada lagi kamu menjadi kafir lalu masing-masing membunuh antara satu sama lain. Sesiapa yang mencela orang mukmin ia menjadi fasiq dan sesiapa membunuhnya menjadi kafir.
(Teks Arab tidak ditulis, dibimbangkan Komputer anda tidak boleh membaca Teks Arab dan mengelak tercicir apabila dicetak semula)
Maksudnya: Jangan sekali-kali ada orang menuduh orang lain sebagai kafir atau fasiq, kerana jika orang yang dituduh itu tidak fasiq atau tidak kafir, maka yang menuduh itu menjadi kafir atau fasiq seandainya orang yang dituduh itu tidak fasiq atau kafir. (Kitab Al-Islam oleh Said Hawa muka surat 86 cetakan pertama).
Dalam Amanat Haji Hadi ini jelas menghukum kafir kepada sesiapa yang berkata: "Politik suku agama suku"
Sebelum mengulas lebih lanjut kata-kata tersebut, terlebih dahulu diperturunkan perkara-perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu menjadi murtad seperti yang dihuraikan oleh para ulama. Kitab "Fathul-Muin" menyatakan bahawa perkara-perkara yang boleh menyebabkan seseorang menjadi murtad ialah:
- Berazam menjadi kafir. Dengan berazam sahaja, seseorang muslim dengan serta-merta menjadi murtad.
- Melafazkan perkataan yang membawa kepada kufur, seperti menafikan kewujudan Allah SWT atau mengatakan Allah SWT terdiri daripada tiga anasir.
- Melakukan perbuatan yang membawa kepada kufur, seperti sujud kepada berhala walaupun tanpa niat menyembah berhala.
Syeikh Zainuddin al-Malabari menyebut syarat-syarat perkara tersebut boleh menyebabkan kekufuran, iaitu: Jika disertai dengan iktikad, atau menunjukkan kedegilan (inad), atau mempersendakan. Maka tidak boleh dihukum kufur jika terdapat tanda-tanda yang perbuatan tersebut dilakukan dengan tidak sengaja seperti terlanjur cakap, menceritakan kata-kata kufur yang diucapkan oleh orang lain atau dilakukan secara terpaksa.
(Teks Arab tidak ditulis, dibimbangkan Komputer anda tidak boleh membaca Teks Arab dan mengelak tercicir apabila dicetak semula)
Maksudnya: Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab daripada Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur, maka atas mereka tertimpa kemurkaan daripada Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar. (Surah al-Nahl ayat 106)
Syeikh Zainuddin seterusnya menyebut beberapa contoh perkara yang boleh membawa kepada kufur, antaranya: Mengingkari hukum yang telah diijmakkan(sepakati) oleh para ulama perkara-perkara yang mudah diketahui oleh semua orang tanpa menggunakan dalil atau sebarang takwil sekalipun tiada nas seperti wajib sembahyang lima waktu, hala jual-beli dan nikah serta haram arak, liwat dan zina atau seumpamanya.
Al-Syyid al-Bakri menghuraikan makna yang dimaksudkan dengan istilah:
(Teks Arab tidak ditulis, dibimbangkan Komputer anda tidak boleh membaca Teks Arab dan mengelak tercicir apabila dicetak semula)
Itu ialah hukum yang diketahui daripada dalil-dalil yang telah sedia ada dalam agama kita yang pengetahuan tentangnya begitu nyata tanpa perlu apa-apa kajian atau penggunaan dalil, hingga pengetahuan tentangnya diketahui oleh semua peringkat sama ada orang awam atau orang alim.
Justeru, memahami daripada huraian para ulama yang muktabar ini, ternyata bahawa menghukum seseorang muslim itu sebagai kafir bukanlah satu perkara yang mudah. Ia memerlukan penelitian yang mendalam serta mengambil kira berbagai-bagai segi seperti niatnya, yang memungkinkan kepelbagain. Oleh sebab itu kitab "Fathul-Mu'in" mengingatkan kita semua seperti berikut:
"Wajib bagi seseorang yang mengeluarkan fatwa bercermat dalam mengkafirkan seseorang muslim sejauh yang mungkin kerana sangat besar bahayanya, dan kerana kebiasaannya tidak wujud niat kufur pada perkataan yang dilafazkan itu, lebih-lebih lagi di kalangan orang awam. Para ulama kita pada zaman dulu dan zaman kini sentiasa berpegang dengan kaedah bercermat ini".
Inilah pandangan berasaskan ilmu dalam soal fatwa, khususnya perkara yang berkaitan dengan menghukum kafir atau murtad ke atas seseorang muslim itu adalah sesuatu yang bertaraf yakin. Kenyataan ini tidak boleh dihapuskan melainkan dengan satu keyakinan lain yang sama tarafnya (melakukan perkara yang jelas tanpa sebarang takwil yang menyebabkan seseorang itu menjadi murtad). Ini bersesuian dengan kaedah fekah yang berbunyi:
(Teks Arab tidak ditulis, dibimbangkan Komputer anda tidak boleh membaca Teks Arab dan mengelak tercicir apabila dicetak semula)
Maksudnya: Sesuatu perkara yang sabit dengan yakin, tidak boleh dihapuskan keyakinan tersebut dengan sesuatu yang meragukan.
Sekarang marilah kita menganalisa kata-kata yang dianggap oleh Haji Hadi boleh menyebabkan seseorang Islam itu menjadi kafir disebabkan berkata "Politik suku agama suku" perkataan ini boleh diertikan sebagai memisahkan agama dengan politik.
Oleh sebab politik adalah kata-kata yang dipinjam daripada bahasa inggeris, kita perlu melihat makna perkataan ini daripada bahasa asalnya. Kamus Oxford Advance Leaner's Dictionary (1995) ketika memberi makna perkataan "Politics" menyebut antara lain:
- Competation between political parties. (Persaingan antara parti-parti politik)
- Matters concerned with acquiring or exercising power within a group or an organization. (perkara-perkara yang berkaitan dengan kegiatan memperoleh kuasa atau menjalankannya dalam sesuatu kumpulan atau sesebuah organisasi).
Dengan itu nyatalah bahawa politik mengikut makna dalam bahasa asalnya memang tidak ada kena mengena dengan Islam. Oleh itu, sesiapa yang mengatakan "agama suku politik suku" ia memang telah menyatakan perkara yang benar mengikut kefahaman Islam. Dan jauh sama sekali dengan menjadi kafir, malah orang yang menghukum itu menjadi kafir kerana menuduh orang Islam yang tidak kafir menjadi kafir sebagaimana kaedah Islam menyebut.
(Teks Arab tidak ditulis, dibimbangkan Komputer anda tidak boleh membaca Teks Arab dan mengelak tercicir apabila dicetak semula)
Usaha-usaha melahirkan "ISU TAKFIR" yang seperti ini sengaja dilakukan oleh pihak yang mencari kepentingan politik murahan bagi mencapai kemenangan puaknya semata-mata melalui perlakuan FITNAH terhadap Islam yang secara jelas telah melakukan dosa yang besar selagi orang yang bertanggungjawab itu tidak kembali kepada Islam sebenar, dan bertaubat Nasuha kepada Allah SWT. Menurut al-Sunnah, tindakan sedemikian terhadap pemerintah umat Islam boleh menyebabkan seseorang itu apabila dia mati dianggap mati dalam keadaan Jahiliyah seperti yang dinyatakan dalam hadith berikut:
(Teks Arab tidak ditulis, dibimbangkan Komputer anda tidak boleh membaca Teks Arab dan mengelak tercicir apabila dicetak semula)
Yang bermaksud: Sesiapa yang melihat pada pemerintahnya sesuatu yang ia tidak suka, maka hendaklah ia bersabar kerana sesungguhnya sesiapa yang mengambil langkah untuk membatalkan kesetiaan kepada pemerintah walaupun sekadar sejengkal lalu ia mati selepas itu, maka mati ia dalam keadaan jahiliyah. (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ibn Abi Jumrah mentafsirkan makna "membatalkan kesetiaan" dalam hadith ini seperti berikut: Yang dimaksudkan "Mufaraqah" dalam hadith di atas ini ialah; melakukan usaha untuk membatalkan bai'ah atau perakuan setia kepada pemerintah walaupun dengan mengambil sesuatu tindakan yang paling kecil lalu ia digambarkan dengan ungkapan; sekadar sejengkal.
Amalan politik seperti ini sebenarnya telah diasaskan oleh seorang Yahudi bernama Abdulullah bin Saba' yang berasal dari Yaman, ia berpura-pura menganut Islam demi memecah-belahkan dari dalam umat Islam dan tinggal di Madinah pada zaman Khalifah Uthman ra. Gerakan-gerakan politik yang dimainkan oleh beliau telah membawa kepada tragedi pembunuhan Sayidina Uthman ra. Antara taktik yang dilakukannya demi menggugat pemerintahan Khalifah Uthman ialah dengan mempertikaikan kesahihan Khalifah Uthman sebagai pemerintah, mengkritik para pegawai kerajaan yang dilantik oleh Uthman dan menimbulkan kebencian orang ramai terhadap mereka hingga ke peringkat menghalalkan darah Khalifah Uthman seperti yang dirakamkan oleh Abdul Wahab an-Najar yang memetik dari kitab "Tarikh al-Tabari" yang terjemahan Teks sepenuhnya adalah seperti berikut:
Abdullah bin Saba' berkata kepada pengikut-pengikutnya: Sesungguhnya Uthman mengambil jawatan Khalifah secara yang tidak sah. Padahal orang yang sepatutnya menjadi Khalifah ialah Ali bin Abi Talib sebagai orang yang menerima wasiat daripada Nabi s.a.w. Tuan-tuan! Bangkitlah kamu sekalian dalam gerakan dalam usaha untuk memperjuangkan hak ini. Mulakanlah usaha ini dengan melemparkan tuduhan terhadap para pemerintah kamu. Tunjukkanlah kepada orang ramai yang kamu ingin menegakkan kewajipan amar makruf dan nahi mungkar untuk menarik sokongan orang ramai, dan ajaklah orang ramai untuk menyertai gerakan ini.
Pada suatu hari, salah seorang pemerintah Mesir yang di bawah kerajaan Uthman bernama Abdullah bin Abi Sarh menjadi imam solat Asar secara berjemaah, seorang daripada penyokong Abdullah Saba' bernama Muhammad bin Huzaifah bertakbir "Allahu - Akbar" dengan suara yang lantang sebagai tanda penghinaan bersalutkan agama. Setelah selesai solat Asar Abdullah bin Abi Sarh yang menjadi imam itu berkata: Rekaan baru dalam bidaah apakah yang berlaku sekarang ini? Muhammad bin Huzaifah yang bertakbir itu menjawab. Ini bukan rekaan bidaah baru, apa salahnya saya bertakbir! Abdullah yang menjadi imam berkata, saya berharap lain kali jangan lagi menggunakan perbuatan seperti itu lagi, tetapi apabila solat Mahgrib, perbuatan yang sama diulang sekali lagi dengan mengangkat suara yang lebih lantang lagi.
Jika kita katakan bahawa yang dimaksudkan dengan perkataan "politik" dalam Amanat Hadi itu ialah kewajipan mendirikan pemerintah yang termasuk dalam bidang siasah syari'yah, maka kata-kata "agama suku politik suku" dengan pengertian ini juga tidak menyebabkan seseorang itu menjadi kafir seperti yang dihuraikan oleh para ulama dalam kitab ilmu tauhid. Sila lihat Kitab Syarh al-Baijuri sebagaimana berikut:
Melantik pemerintah bukanlah sebahagian daripada rukun yang wajib diiktikad dalam hukukm-hukum agama yang diijmakkan oleh ulama dan diketahui dengan cara yang tidak boleh diragukan(mutawatir), sehingga orang yang mengingkarinya menjadi kafir sama seperti mengingkari rukun "mengucap dua kalimah syahadah", "solat", "zakat", "puasa pada bulan Ramadan" dan "menunaikan haji", kerana ia hanya hukum yang berkaitan dengan pemerintah yang tidak termasuk dalam bahagian "hukum agama yang diketahui dengan mudah tanpa memerlukan kajian". Maka dengan itu orang yang mengingkari hukum tersebut tidaklah menjadi kafir.
Justeru, adalah nyata berasaskan petikan daripada kitab tauhid ini bahawa fatwa atau amanat Hj Hadi ini adalah bertentangan dengan ajaran ilmu tauhid yang wajib setiap umat Islam Malaysia menyangkalnya.
|