| Al-Hamdulilah, saya amat bersyukur kepada Allah swt kerana dapat saya menulis
sekali lagi mengenai kegiatan parti PAS yang pernah saya menjadi aktivis di dalamnya. Di dalam risalah kecil
pada kali ini saya menyingkap pula sebahagian kecil daripada kegiatan PAS yang bercanggah dengan Islam yang
dikira sebagai pelaksanaan yang tidak bertepatan dengan kesederhanaan yang dikehendaki oleh Allah swt.
Sesungguhnya kegiatan parti PAS bukan setakat tidak melaksanakan kesederhanaan, bahkan boleh menjurus ka
arah merosakkan akidah umat Islam Malaysia sekiranya tidak ditanggani dengan baik. Semoga
risalah ini dapat membantu memberi kesedaran dan peringatan kepada seluruh
kaum muslimin Malaysia.
Umat pertengahan
Firman Allah (Ayat 143 al-Baqarah) Yang Bermaksud:
Sebagaimana Kami telah
memimpin kamu ke jalan yang lurus. Maka Kami juga telah menjadikan kamu
satu umat “pertengahan” dan kamu merupakan umat pilihan lagi adil.
Pertengahan dalam segala pembawaannya; tidak melampaui atau keterlaluan
dalam menganut kepercayaannya,
termasuk akhlak dan amalannya, segala-galanya dalam pertengahan, baik
mengenai perkara keduniaan maupun keakhiratan. Oleh yang demikian kamu
sememangnya layak menjadi manusia yang akan memberi keterangan kepada
seluruh umat manusia di akhirat kelak tentang kebenaran Islam. Manakala
Nabi Muhammad saw pula sebagai Rasulullah yang akan menjadi saksi
untuk menerangkan kebenaran perbuatan kamu di akhirat nanti. (Ayat
143 al-Baqarah)
Di dalam mentafsirkan
ayat di atas. Syed Qutub mentafsirkan: Bahawa umat Islam perlu mengamalkan
sikap kesederhanaan di dalam semua perkara termasuk iktikad, (kepercayaan)
pemikiran, tasawur, (gambaran) tanzim, (Penyusunan masyarakat) hubungan
dengan Allah, dan juga sesama manusia. Di dalam urusan amal ibadah misalnya
seseorang muslim harus mengambilkira kemampuan diri dan tidak memaksa
diri untuk melakukan amal-amal ibadat secara keterlaluan sehingga lupa
akan tanggungjawab serta urusan-urusan keduniaan, sebagaimana terdapat
gulongan yang begitu ghairah tentang urusan akhirat dan alpa tentang
tanggungjawab terhadap diri dan keluarga. Pokoknya; Islam mengajar serta
menganjurkan umatnya supaya bersikap sederhana dalam semua aspek kehidupan.
(Tafsir Zilal halaman 131)
Kepribadian Islam
Kesederhanaan bermaksud
agar umat Islam mempunyai syakhsiah Islam, rumahtangga Islam, berpelajaran
Islam, berekonomi Islam, berkira bicara secara Islam dan mempunyai sikap
seorang Islam sebagaimana yang dicontohi oleh Nabi Muhammad saw. Tanpa
pelaksanaan seperti ini maka tidak akan lahir suatu Umat yang disebut
Allah “Umat Muhammad sebagai umat pertengahan”. Juga tanpa ciri-ciri
tersebut segala pelaksanan undang-undang Islam tidak ternilai atau akan
menjadi kosong, mungkin tidak lebih daripada hanya memebri penyeksaan
kepada umat itu sendiri tanpa melalui keimanan dan ketakwaan. Kefahaman
tentang Islam kepada umat Islam secara sempurna hendaklah dilakukan
secara menyeluruh agar pelaksanaan syariat Islam yang akan dilakukan
itu tidak mendapat tentangan serta mendapat keridaan daripada Allah
swt.
PAS mengelirukan kefahaman
ayat al-Quran
Di dalam konteks ini
PAS telah mengelirukan kefahaman ayat al-Quran melalui kefahaman mereka
sendiri, misalnya mengenai “Perpecahan”. PAS telah mentafsiran
bahawa: Perpecahan adalah suatu Sunnah Allah yang pasti berlaku sehingga
kiamat walau dibendung semacam mana sekalipun. Mereka mentafsirkan ayat
36 surah al-Baqarah yang bermaksud: Dan Kami(Allah) berfirman: 'Turunlah
kamu (Adam, Hawa dan Syaitan ke dunia). Sebahagian daripada kamu menjadi
musuh kepada sebahagian yang lain.
Pada peringkat permulaan
saya mendengar pengajaran pemimpin PAS ini saya mula merasai pelek.
Kenapakah Allah menyuruh kita berkelahi sesama manusia, bermula dari
situ, maka saya telah menatap beberapa buah kitab tafsir, saya dapati
tafsiran pemimpin PAS bercanggah dengan tafsiran daripada ahli-ahli
tafsir lain. Maksud ayat: Sebahagian daripada kamu
menjadi musuh kepada sebahagian yang lain
dalam ayat ini adalah ditujukan kepada perkelahian antara manusia dan
syaitan, iaitu manusia dan syaitan akan berseteru selama-lamanya sehinggalah
ke hari kiamat. Jadi penafsiran pimpinan ulama PAS adalah tersilap besar,
bahkan akan menjurus ke arah perpecahan serta jauh daripada kesederhanaan
yang dikehendaki oleh Islam.
Untuk membuktikan bahawa
keamanan merupakan ni’mat Allah yang perlu dikekalkan, sila lihat
Firman Allah di samping memahami maksud ayat 4 surah Quraisy yang bermaksud: Tuhan
yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka daripada kelaparan,
dan mengamankan mereka daripada ketakutan.(Ayat 4 surah Quraisy).
Di dalam ayat ini; Allah memberitahu secara simbolik bahawa musuh maknusia
ialah ketakutan, huru-hara, dan kelaparan, dan seandainya kita berada
di dalam kateguri keamanan dan tidak lapar maka itu suatu nikmat yang
perlu dipelihara bersama.
Silap penafsiran Islam
atau kejahilan terhadap pengertian Islam yang sebenar, meyebabkan sesetengah
golongan tidak dapat membezakan antara hukum manakah yang perlu didahulukan
(Aulawiat) atau dikemudiankan, bahkan hukum yang sunat diutamakan daripada
yang wajib. Jikalau ini yang menjadi amalan umat Islam Malaysia nescaya
umat Islam akan terus ketinggalan di dalam arus kebangkitan ekonomi,
politik, sosial dan lain-lain, atau berada dalam perpecahan.
Nabi Muhammad saw telah bersabda yang bermaksud: Sebaik-baik perkara adalah pertengahan.
Dalam masyarakat Islam
di Malaysia didapati puak PAS yang mendakwa kononya mereka berjuang
atas nama Islam, tetapi dalam tindakan dan amalan mereka sering menuduh
buruk, memaki dan menggelarkan orang lain yang tidak menyokong puak
mereka sebagai Taghut, syirik dan sebagainya. Di dalam ucapan atau tulisan
mereka didapati lebih banyak perbuatan mengeji, menghina, melebel buruk,
bermusuhan sesama Islam dan jahat sangka kepada orang yang tidak menyokong
parti mereka. Sikap seperti ini menggambarkan bahawa mereka tidak mengikut
Islam, apatahlagi bersederhana dalam semua aspek. Bahkan jauh daripada
melakukan pendekatan untuk membena masyarakat ke arah yang lebih baik
atau berpendidikan Islam.
Sesungguhnya PAS telah
membelakangkan perintah Allah sebagaimana Firman Allah dalam surah al-Hujurat
ayat 11 & 12 yang bermaksud:
Wahai orang yang beriman!
Janganlah sesuatu puak daripada kaum lalaki mencemuh dan merendah-rendahkan
puak lelaki yang lain, kerana mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih
baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum
perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain,
kerana mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;
dan janganlah setengah daripada kamu menyatakan keaipan setengahnya
yang lain; dan jangan pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan
yang lain dengan gelaran yang buruk. Larangan-larangan yang tersebut
menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka amatlah buruknya
sebutan nama fasik kepada seseorang sesudah ia beriman. Dan ingatlah,
sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan fasiknya maka merekalah
orang yang zalim. (Surah al-Hujurat ayat 11).
Wahai orang yang beriman!
Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan
yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu
adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan
dan keaipan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya
yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka makan daging saudaranya
yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu
kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut)
dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat,
lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Hujurat ayat 12).
Pendekatan PAS melaui cerca.
Hanya beberapa orang
daripada pemimpin PAS sahaja yang tidak mencerca orang yang tidak menyokong
parti mereka, sebab itu kita dapati makin kuat mencerca orang semakin
dapat sanjungan pemimpin tersebut. Sifat seperti ini adalah menandakan
tidak ada kesederhanaan bahkan bercanggah dengan perintah Allah dalam
ayat 108 surah al-Anam.
Yang bermaksud: Dan janganlah
kamu cerca atau memaki benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada
Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas
dengan ketiadaan pengetahuan. (Ayat 108 surah al-anam)
Menyebar fitnah dan menuduh kafir
Menyebar fitnah juga
perkara biasa dan menjadi amalan PAS. Di antaranya ialah menuduh pemimpin
UMNO, dan penyokong UMNO sebagai kafir, murtad atau tidak mahukan Islam,
zalim, fasiq, dan sebagainya.
Maksud ayat 10 surah al-Burujj dan ayat 191 surah al-Baqarah
Sesungguhnya orang-orang
yang memfitnah orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan
yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh
azab neraka Jahannam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan beroleh
lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat).(Ayat
10 surah al-Buruj)
Yang bermaksud: Dan membuat
fitnah lebih dahsyat daripada membunuh (Ayat 191 surah al-Baqarah)
PAS sanggup melakukan
apa sahaja walaupun bercanggah dengan ajaran Islam, demi mencapai hasrat
politik parti PAS. PAS sanggup mengeluarkan fatwa mengkafirkan orang-orang
UMNO (waliyazu-billah) semata-mata untuk mendapat sokongan bagi
memenangi pilihanraya dengan mempergunakan ayat-ayat suci al-Quran seperti
terompah buruk mereka. Sembahyang dua imam, nikah semula, haram makan
sembelihan orang UMNO dan sebagainya. Pada hal ayat al-Quran lebih awal
lagi menetapkan hukum tidak boleh sewenang-wenang menuduh orang lain
sebagai kafir, syirik, murtad dan sebagainya.
Sila lihat maksud ayat-ayat al-Quran di bawah ini:
Dan janganlah kamu terburu-buru
mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai dengan
memberi Salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat: "Engkau bukan
orang yang beriman", dengan tujuan hendak mencari mata benda kehidupan
dunia yang tidak kekal. (Janganlah kamu gelap mata kepada daki dunia
seperti mencari kepentingan politik dan sebagainya melalui mengkafirkan
orang yang tidak kafir) (Ayat 94 surah an-Nisa')
PAS tidak beradab dalam ceramah
Di dalam ceramah-ceramah
PAS kita dapati cermahnya tidak beridentiti Islam tulen. Jikalaulah
PAS menganggap dirinya sebagai doktor untuk mengubati masyarakat supaya
jangan bersyirik kepada Allah maka kita bertanya mereka. Adakah layak
seorang Doktor apabila melihat pesakit yang betisnya berkudis lalu doktor
itu melaung-laung dan mengisytiharkan kepada orang ramai bahawa pesakit
ini berkudis, datanglah beramai-ramai untuk melihat pesakit yang berkudis
ini. Sesungguhnya jikalau seorang Doktor yang telen dan baik sudah tentu
ia mengubati pesakit tersebut tanpa menghibahkan memberi malu.
Al-Quran ayat 263 dan 83 surah al-Baqrah yang bermaksud:
Perkataan yang baik dan memaafkan kesilapan orang adalah lebih baik
daripada sedekah (pemberian) yang diiringi dengan perbuatan atau perkataan
yang menyakitkan hati. Dan ingatlah, Allah Maha Kaya, lagi Maha
Penyabar.(Ayat 263 surah al-Baqrah)
Yang bermaksud: Dan berbuat
baiklah kamu kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim,
dan orang-orang miskin, serta ucapkanlah kata-kata yang baik, merendah
diri, dan lembut berbicara kepada sesama manusia, dirikanlah solat dan
tunaikanlah zakat kerana kedua-dua ibadat ini merupakan rukun yang ada
kena mengena dengan fizikal seseorang dan kewangan". (Ayat 83
al-Baqarah)
Kesederhanaan yang ditunjuk oleh Rasululah saw
Di dalam sebuah hadis
diriwayatkan bahawa ada orang bertanya kepada sahabat Rasulullah tentang
ibadat Rasulullah saw. Apabila dibertahu tentang ibadat Rasulullah mereka
merasakan bahawa amal ibadat yang mereka lakukan selama ini terlalu
kecil jikalau dibandingkan dengan ibadat Nabi. Salah seorang daripada
mereka lanatas berkata, “Aku akan beribadat sepanjang malam dan tidak
akan tidur selama-lamanya” seorang sahabat lagi berkata “ Aku akan
berpuasa dan tidak akan berbuka untuk selama-lamanya,” dan yang ketiga
pula berkata “ Aku tidak akan berkahwin untuk selama-lamanya” Nabi
yang kebetulan mendengar perbualan tersebut, lalu menyapa dan bersabda
“Aku adalah orang yang paling bertakwa kepada Allah tetapi aku beribadat
dan aku juga tidur, aku berpuasa dan berbuka dan aku mengiwini wanita.
Barangsiapa membenci sunnahhku maka mereka bukan dari umatku. Demikian
gambaran hidup sederhana yang jelas yang ditunjukkan oleh Rasulullah
saw.
Apabila kita membincangkan
tentang kesederhanaan di dalam mengamalkan hukum Islam di dalam masalah
aurat misalnya. Bukan aurat itu yang menjadi perbicangan sebagai asas,
kerana tidak ada siapa daripada orang Islam yang mempertikai dan mengatakan
wanita atau lelaki itu tidak wajib menutup aurat. Cuma apakah jalan
terbaik untuk mengelakkan wanita atau lelaki yang tidak menutup aurat
supaya menutup aurat? Adakah dengan cara menangkap atau mendenda mereka
yang terlibat? Atau apakah ada cara dan kaedah yang lebih berkesan di
dalam menangani masalah ini?
Persoalannya; sejauh
manakah usaha-usaha ke arah memberikan kesedaran kepada umat Islam Malaysia
tentang sesuatu ajaran Islam. Sebagai contoh, kewajipan menutup aurat
adakah telah disebarkan begitu meluas? Jikalau usaha ke arah memberi
kesedaran kepada orang ramai masih belum sampai ke tahap yang membanggakan,
maka pelaksanaan undang-undang tidak akan memberi kesan yang diharapkan.
Sebagai bokti kenapakah penguatkuasa undang-undang tidak berjalan di
Mekah walaupun Islam telah lahir selama 10 tahun lebih?
Di dalam Islam, hukuman
dan denda bukanlah satu-satunya jalan untuk menyelesaikan masalah yang
timbul. Ini terbokti bahawa berdasarkan jumlah ayat di dalam al-Quran
lebih enam ribu enam ratus ayat, hanya terdapat tidak lebih daripada
100 ayat yang berkaitan dengan hukuman penghakiman serta prosidurnya.
Hukuman seperti yang terdapat di dalam hukum hudud dan qisas hanya dilaksanakan
apabila segala nasihat teguran dan amaran tidak dapat menghalang sesorang
itu daripada melakukan sesuatu yang bercanggah dengan hukum Islam.
Membicaran konsep kesederhaan
dalam Islam bukanlah bererti mempersoalkan keimanan dan amalan sesorang.
Kerana iman itu adalah jelas konsepnya iaitu mengakui kewujudan Allah,
kekuasaan dan ketinggian-Nya serta kesempuraan sifat-sifat-Nya. Konsep
kesederhanaan ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas sebagaimana
yang terungkap dalam firman Allah swt tadi bahawa umat ini sebagai umat
“Pertengah” (Umatan Wasatan)
Islam meletakkan kuat-kuasa
peraturan dan ajarannya mengikut kemapuan manusia untuk mematuhi dan
melaksanakannya. Allah tidak memberatkan sesorang kecuali apa yang terdaya
olehnya:
Firman Allah yang bermaksud
Allah tidak memberati
seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan
yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.
(Mereka berdo'a dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau
mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan
kami! Janganlah Engkau bebankan kepada dkami bebanan yang berat sebagaimana
yang telah engkau bebankan kepada orang yang terdahulu daripada kami.
Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami
tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah
dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami;
oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum
yang kafir".(Surah al-Baraha ayat 286)
Diriwayatkan bahwa Rasulullah
saw ketika diminta memilih di antara dua pendapat, maka baginda sering
memilih yang lebih ringan selama ia tidak ditegah Allah. Baginda telah
ditanya tentang kewajipan menunaikan haji iaitu adakah diwajibkan pada
setiap tahun? Sekiranya baginda menjawab ya, maka hal ini tentu menjadi
wajib. Baginda juga pernah menegaskan bahawa Allah mengeluarkan perintah
kepada kamu supaya melakukan kewajipan maka lakukannlah, jangan disiasiakan
Dia. (Allah)telah menentukan sempadan-sempadannya, janganlah kamu melampauiinya.
Allah melarang kamu daripada mengerjakan sesuatu perbuatan maka janganlah
lakukan. Hal ini memboktikan amat bertimbangrasa dan mengambil berat
akan kemapuan manusia dalam meletakkan sesuatu peraturan dan undang-undangnya.
Dalam mengamalkan kesederhanaan
ini, maka Islam bukanlah agama yang buta tuli, yang tidak mengambilkira
keadaan, yang tidak mengambilkira masalah penganutnya dan umat Islam
setempat atau keseluruhan, yang membebankan individu Islam dan umat
Islam. Sebaliknya Islam adalah agama Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha
Penyayang, yang memberi pertimbangan kepada segala masalah yang dihadapi
oleh penganut dan umat, yang tidak menekan dan menyusahkan mereka. Jikalau
dalam perkara ibadah ada kelonggaran, apakah dalam perkara perundangan
tidak ada kelonggaran ?
Allah berfirman dalam
al-Quran surah al-Hajj ayat 78:
Yang bermaksud: Dan berjihadlah
kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya*1;
Dialah memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Ia tidak
menjadikan kamu menanggung suatu keberatan dan susah payah dalam perkara
agama*2, agama bapa kamu Ibrahim*3. Ia menamakan
kamu:" orang Islam" semenjak dahulu dan di dalam (Al-Qur'an)
ini*4, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan
kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang yang
memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang
salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang
teguhlah kepada Allah! Dialah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian
sifat-Nya) Dialah sahaja sebaik-baik pelindung dan sabaik-baik Pemberi
pertolongan. (Surah al-Hajj ayat 78)
- Yakni berjihadlah
(berjuanglah) bersungguh-sungguh mengerjakan segala suruhan Allah dengan
sempurna, dan dengan ikhlas kepada Allah semata-mata. Jihad atau perjuangan
itu pula terbahagi dua. Pertama berjuang menentang pencerobohan musuh,
kedua berjuang menentang hasutan Syaitan dan hawa nafsu.
- Yakni dalam Islam
tidak diwajibkan sesuatu yang menyusahkan; misalnya orang yang uzur,
dibolehkan mengerjakan sembahyang dengan duduk atau berbaring; orang
yang sakit atau musafir diharuskan berbuka puasa dan setelah itu hendaklah
ia mengkadakannya. Demikianlah halnya dalam perkara-perkara yang
lain.
- Yakni agama Islam yang
di bawa oleh Nabi Muhammad (s.a.w.) ialah agama tauhid yang dibawa oleh
Nabi Ibrahim (a.s.). Nabi Ibrahim disifatkan sebagai bapa orang Islam
ialah disebabkan pertalian Islam yang berteraskan tauhid itu.
- Yakni Allah Ta'ala
menamakan kamu "orang-orang Islam" di dalam Kitab-kitab-Nya
yang telah lalu dan di dalam Kitab Suci al-Qur'an ini. (Tafsiran
Pimpinan al-Rahman)
Untuk itu banyak kelonggaran
diberi dalam pengamalan ajaran-ajaran Islam, baik dalam pelaksanaan
dan amalan ibadat, dan sudah tentu dalam penguatkuasaan hukum pun juga
ada kelonggaran tertebtu. Sebagai contoh amalan rukun Islam yang lima
pun diberi kelonggaran. Misalnya bagi bagi orang yang diancam seksaan
atau ancaman bunuh tidak payah melafazkan dua kalimah syahadat, sebagaimana
berlaku pada zaman “Musailamul-Kazab” kepada mereka yang terancam
ini tidak menjadi kesalahan walaupun terpaksa menuturkan kalimah syirik
asalkan niat dalam hati tidak rusak.
Untuk solat, keadaan alam sekeliling diambilkira, masa dilonggarkan, bahkan sembahyang
boleh didahulukan atau dikemudiankan, dipendek atau dicantumkan dalam
masa musafir. Bagi orang yang sakit yang tidak dapat bergerak dengan
sempurna, gerak badan semasa bersembahyang tidak diperlukan sepenuhnya.
Bahkan penganut Islam boleh sembahyang sambil tidur, sambil duduk atau
semasa bergerak dalam kenderaan. Untuk wuduk pun banyak kelonggaran
diberi. Islam memberi 'rukhsah' kepada umatnya.
Ibadat puasa dan smbahyang
umpamanya diwajibkan dengan sepenuhnya ke atas manusia yang sihat tubuh
badan, sihat akal fikiran, dan ada unsur-unsur tertentu yang menghalangnya
daripada menunaikan ibadat itu dengan memuaskan. Tetapi sekiranya manusia
tidak mampu kerana sebab-sebab kesihatan atau ketika keadaan tertentu
maka ada cara-cara tertentu kelonggarannya.
Firman Allah yang bermaksud:
Wahai
orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya)
sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan
apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu
dalam keadaan junub (berhadas besar)- kecuali kamu hendak melintas
sahaja - hingga kamu mandi bersuci. Dan jikalau kamu sakit, atau
sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari
tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu
tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu
bertayamum dengan tanah - debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka
kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha
Pengampun. (Surah An-Nisa ayat 43)
Yang bermaksud: Wahai
orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang
(padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka
kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian
daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku
lali; dan jikalau kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan
mandi wajib; dan jikalau kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam
pelayaran, atau salah seorang daripada kamu datang dari tempat buang
air, sedang kamu tidak mendapat air ( untuk berwudu' dan mandi), maka
hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu yang bersih, iaitu: sapulah
muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah-debu itu. Allah tidak
mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu (kepayahan), tetapi Ia berkehendak
membersihkankan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan ni'mat-Nya
kepada kamu, supaya kamu bersyukur.(Ayat 6 surah al-Maaidah)
Demikian jiuga dengan
puasa, mengeluar zakat dan ibadat Haji. semuanya bergantung kepada kemampuan
tertentu. Tidaklah menjadi kesalahan dan berdosa jikalau tidak melakukannya
kerana keadaan tidak mengizinkan, mungkin kerana sakit, kerana miskin
atau sebab-sebab lain. Jelas sekali bahawa fardhu ain pun tidak dipaksa
ke atas umat dengan begitu keras sehingga menimbul masalah dan menjadi
beban kepada mereka. Jelas bahawa semuanya dibenarkan mengikut prinsip-prinsip
Islam.
Larangan terhadap orang
Islam juga mengambilkira keadaan dan masalah yang dihadapi. Daging babi
tidak boleh dimakan. Tetapi oleh kerana Islam menghargai nyawa manusia,
terutama nyawa orang Islam, daging babi yang jelas haram pun diharuskan
jikalau tidak ada makanan lain untuk menyelamatkan nyawa. Darurah membolehkan
yang terlarang.
Di dalam pelaksanaan
Hukum Hudud juga boleh ditangguhkan pelaksanaannya jikalau ada sebab-sebab
penghalangnya. Sebagai contoh dalam pemerintahan Khalifah Omar bin al-Khattab
dan pemerintahan Hisyam bin Abdul Malik, pelaksanaan hukum hudud telah
digantungkan beberapa ketika. Tentu ada justifikasinya yang menyebabkan
pemerintahan Islam ketika itu tidak melaksanakan hukuman hudud. Mengutkuasakan
hukum hudud sehingga melemahkan orang Islam, sehingga menjadi masyarakat
mereka kucar kacir dan ditindas oleh orang lain tidaklah secocok dengan
amalan ibadat-ibadat dan ajaran Islam. Demikian juga hukum-hukum yang
lain memberi berbagai-bagai kelonggaran supaya tidak menjadikan beban
kepada orang Islam. Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang disebut berkali-kali
sebagai Yang Maha Mengasihani lagi Maha Menyayangi tidak menjadikan
Islam sebagai agama yang zalim dan tidak bertimbangrasa. Oleh itu carilah
jalan agar jangan menyebabkan Islam menjadi beban,
zalim dan penghalang kepada kesejahteraan umat Islam.
Jikalau kelonggaran diberi
dalam Islam sehingga ke peringkat ini, apakah dalam pelaksanaan
hukum hudud tidak ada sama sekali kelonggaran, tidak
ada faktor dan keadaan yang diambilkira. Apakah
hukum hudud mesti dilaksanakan juga walau apapun
keadaan sehingga mendatangkan mudarat kepada orang Islam dan agama Islamz
Apakah dalam keadaan Islam sudah lemah, hukum-hukum yang boleh melemahkan
lagi orang Islam mesti dilaksanakan juga? Apakah orang Islam yang tinggal
di negara majoriti bukan Islam terpaksa melaksanakan juga hukum hudud
sehingga mereka didakwa di bawah undang-undang negara berkenaan? Bukankah
Islam itu luas dan 'flexible' serta mampu 'respond' kepada perubahan
yang berlaku pada umat manusia, perubahan masa dan tempat. Inilah yang
menyebabkan Islam itu sesuai dengan setiap masa dan tempat. Keadaan
yang berlaku tentu diambilkira. Lebih-lebih lagi apabila keadaan umat
Islam itu berada dalam keadaan lemah dan kurang kemampuan. Keadaan demikian
boleh dianggap sebagai berada dalam keadaan darurat.
Dakwaan PAS tidak menerima
hudud PAS menjadi murtad.
Dakwaan oleh PAS bahawa
sesiapa tidak menerima undang-undang hudud PAS menjadi murtad amatlah
bertentangan dengan ajaran Islam apatahlagi dalam melaksanakan prinsip
“Kesederhanaan”. Undang-undang hudud PAS mungkin dicipta melalui
kefahaman atau tafsiran sesetengah mazhab dalam Islam yang bermazhab
sesuai dengan iklim dan suasana negerinya yang berbeza dengan tempat
kita. Terdapat kebanyakan daripada ayat-ayat dalam al-Quran yang memberi
panduan secara umum. Ini memang begitu kerana panduan ini adalah untuk
keadaan yang berbeza-beza. Dengan itu tafsiran ayat-ayat ini melalui
proses ijtihad sekali pun boleh berbeza mengikut kefahaman atau fikh
pentafsir atau keadaan atau zaman.
Oleh kerana terdapat
perbezaan tafsiran ajaran Islam dalam al-Quran dan Hadith maka terbentuklah
banyak mazhab. Tidak ada satu mazhab pun yang pernah mendabik dada bahawa
mazhab akulah yang paling semurna dan berhak mendakwa bahawa mazhabnya
sahaja Islam dan yang lain tidak Islam.
Undang-undang Hudud PAS juga adalah hasil daripada kepentingan politik parti PAS. Ia tidak
menjadi sebahagian daripada ajaran Islam yang mesti diterima oleh semua
orang Islam. Kita tidak menafikan adanya orang yang boleh menjadi
murtad dengan syarat dan perbuatan tertentu yang membolehkan kita mendakwa
orang itu murtad, iaitu apabila sesorang itu menolak zat hukum Hudud
Islam yang tidak boleh dipertikaikan yang terkenal dalam istilah Islam
“Perkara Yang Termaklum Di Sisi Agama Sebagai Satu Keperluan”.
Sesungguhnya penolakan undang-undang Hudud PAS tidak termasuk dalam
syarat-syarat ini.
Menzahirkan perpecahan.
Yang bermaksud: Bahawasanya
orang yang mencerai-beraikan agama mereka (dengan perselisihan-perselisihan
yang berdasarkan hawa nafsu), dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah
engkau terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara
mereka hanya terserah kepada Allah. Kemudian Ia akan menerangkan kepada
mereka (pada hari Kiamat kelak), apa yang telah mereka lakukan ( dan
membalasnya). (Surah Al-An'am Ayat 159)
Ketahuliah saudara kaum
Muslimin! Apabila terlaksana undang-undang Islam maka sebarang kezaliman
yang berlaku dalam masyarakat Islam bukanlah kerana ajaran Islam. Sebarang
kezaliman dalam masyarakat Islam dan negara Islam adalah kerana umat
Islam atau pemimpin Islam atau Kerajaan Islam tidak mengikut ajaran
Islam sebenar, atau mereka menyalahtafsirkan ajaran Islam yang sebenar.
Dan ini memang kerap berlaku dan menyebabkan masyarakat dan negara Islam
menjadi mundur, tidak tertib, kucar-kacir dan lemah.
Sesungguhnya undang-undang
Hudud PAS tidak sedikit pun berasaskan kepada “Maqaasid Syariyah”.
Jikalau dilaksanakan ia akan menyebabkan ketidakadilan yang ketara akan
berlaku - dan ketidakadilan yang berlaku selepas pelaksanaan hudud PAS
tidak boleh dianggap sebagai Islam tidak sempurna. Perbezaan hukuman
hudud PAS bagi orang Islam yang melakukan kesalahan dan orang bukan
Islam adalah menjadi bokti bahawa undang-undang PAS itu tidak Islam.
Sebenarnya Undang-undang
Hudud PAS dilahirkan adalah hasil daripada tafsiran agama Islam oleh
orang PAS. Tidak ada siapa yang berhak menjadikan tafsirannya sebahagian
daripada agama Islam. Kerana punca atau sumber dan asas agama Islam
hanyalah al-Quran dan Sunnah Nabi bukannya pendapat kerana kepentingan
politik. Tafsiran oleh orang lain walaupun melalui proses ijtihad tidak
menjadi sebahagian daripada hukum Islam yang mutlak sehingga penolakannya
menjadi seseorang Islam itu murtad.
Kata-kata Yusuf al-Qardawi:
"Saya telah melihat
orang-orang Islam yang baik hati telah menderma untuk pembinaan masjid
di daerah yang sudah penuh dengan masjid. Dermanya bukanlah sedikit
malah mencecah ke angka satu juta paun atau dolar, bahkan lebih. Apabila
saya meminta sejumlah bantuan yang sama atau separuh daripadanya untuk
didermakan bagi tujuan penyebaran dakwah Islam, menentang kekufuran
atau ilhad bagi mendokong perjuangan menengakkan syariat Islam atau
bagi tujuan-tujuan lain yang lebih besar yang sangat-sangat memerlukan
kewangan, tidak ada orang yang sudi menderma malah menendah permintaan
itu. Sebabnya mereka lebih berkeyakinan untuk membina batu bata daripada
membina jenerasi."
"Saya melihat ada
para pemuda Islam yang ikhlas dan cerdas akalnya pula. Mereka asyik
belajar di fakulti-fakulti perubatan, kejuruteraan, pertanian, sastera
atau fakulti-fakulti sains atau sains sosial yang lain, tiba-tiba dengan
tidak semena-mena mereka telah meninggalkan universiti dengan alasan
untuk berdakwah sepenuh masa, merka lakukan tanpa rasa dukacita dan
sayang kepada pelajaran yeng diceburi selama ini.
Sekian, terima kasih.
|