Tahukah tuan puan sekarang ada dua makhluk dari spesies yang berbeza sedang merancang untuk membentuk sebuah kerajaan bersama. Sebelum itu kita teliti dahulu apa kata makhluk tersebut kepada satu sama lain. Penulis tidak mahu berceloteh panjang tetapi terus kepada laporan Utusan Malaysia 24 Julai 1986. Tajuk berita tersebut ialah "Urus kutu pun tak mampu apa lagi urus ekonomi negara" –Anwar.
Sungai Petani, 23 Julai – Pas tidak mampu menguruskan kutu pada peringkat kampung apatah lagi menyusun ekonomi negara secara Islam, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Encik Anwar Ibrahim.
Katanya laungan pemimpin-pemimpin Pas untuk mentadbir negara dan menjalankan ekonomi Islam merupakan janji kosong.
Semasa berucap pada majlis ceramah politik dalam pra kempen menyokong calon-calon Barisan Nasional di Gurun dekat sini malam tadi beliau berkata rakyat tidak seharusnya terpengaruh dengan dakwaan parti itu untuk menegakkan negara Islam.
Encik Anwar yang juga Menteri Pelajaran berkata ketika kerajaan hendak menubuhkan Bank Islam banyak pemimpin Pas menentangnya. Parti itu juga mempersenda usaha kerajaan menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa(UIA). Semasa kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Bank Islam dan UIA di Parlimen, Parti komponen BN bukan Melayu-MCA,MIC, Gerakan dan lain-lain menyokong tetapi wakil-wakil DAP menentangnya.
"Tetapi pada hari ini PAS melutut kepada DAP dan Jawatankuasa Perunding Cina (CCC) untuk bekerjasama menentang UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihanraya 3 Ogos ini." katanya.
Kata Encik Anwar, pada masa lepas Pas menuduh UMNO dan anggota-anggota UMNO Kafir atau taghut kerana bekerjasama dengan bukan Melayu di dalam BN.
Sebaliknya, Pas kini menubuhkan barisan pembangkang dan mempelawa DAP sertai CCC yang pernah menentang usaha kerajaan menubuhkan Bank Islam dan UIA, jelasnya lagi.
Katanya, yang peliknya keputusan bekerjasama dengan CCC dan pembentukan barisan pembangkang tidak diambil persetujuan dewan ulama atau keputusan muktamar Pas sendiri. "Jika di dalam soal dasar yang besar seperti ini boleh dibuat oleh dua tiga orang di dalam PAS, adakah kita dapat memegang janji PAS untuk menegakkan negara Islam jika ia menang ." Tanya Encik Anwar.
Bagi mereka yang tidak mengikuti pilihanraya umum tahun 1986 khasnya pemimpin Pas yang masih berhinggus pada tahun 1986 tetapi menjadi pendekar dan hulubalang Pas pada hari ini mereka barangkali tidak tahu bahawa :-
- Kenyataan saudara Anwar itu ada asasnya kerana itu adalah kenyataan yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa. Sejarah telah membuktikan projek ekonomi yang ditaja oleh PAS dahulu, kini dan mungkin juga sekarang berakhir dengan kegagalan belaka. Pemimpin Pas hari ini mungkin tidak mengetahui projek Darul Mal yang ditaja oleh Mantan Timbalan Ketua Pemuda Pas sewaktu Datuk Mustapa Ali menjadi Ketua Pemuda Pas. Projek Darul Mal yang ditaja itu termasuk program menunaikan haji beramai-ramai penyokong Pas berakhir dengan ghaib walghuyub tanpa khabar berita dan kemana wang yang dilabur oleh penyokong Pas juga tidak diketahui.
- Projek ekonomi ahli Pas seterusnya ialah membina perkampungan Islam. Untuk mengetahui secara lanjut program ini kita boleh bertanya dengan Peguam Suhaimi Said di Temerloh Pahang. Bekas pemimpin Pas yang kini menjadi ahli Parti Keadilan Rakyat ini tentunya boleh memberi penjelasan secara panjang lebar.
- Penyokong Pas juga pernah menubuhkan Koperasi Perniagaan Melayu Kelantan (KPMK). Sebelum menjadi Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah menerajui Koperasi ini. Selepas 20 tahun sepatutnya koperasi ini menjadi sebuah entiti korporat yang disegani, malangnya tidak banyak khabar berita tentang KPMK selepas Dato’ Nik Azizi menjadi Menteri Besar. Khabarnya mertua seorang ADUN Pas sekarang masih mempunyai kaitan dengan KPMK.
- Koperasi Al-Hilal yang diasaskan oleh bekas Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan juga telah berada dalam keadaan nazak hidup segan mati tidak mahu. Bekas Timbalan Presiden Pas pernah menerajui Koperasi ini. Ramai pelabur yang inginkan balik wang pelaburan di dalam koperasi al-Hilal sekarang menggigit jari. Rata-rata penyokong Pas juga yang terkena dengan projek yang dibangga-banggakan dahulunya oleh pemimpin Pas. Penyokong yang mencarum seratus dua kerugian, pemimpin besar kekenyangan.
- Projek-projek besar di Kota Bharu pada hari ini memang menakjubkan tetapi apakah ia dilaksanakan oleh kerajaan Pas? Jawapannya ia samada dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat atau keduanya dilaksanakan oleh korporat-korporat bangsa asing yang bertenggek di atas kekuasaan Pas Kelantan. Apakah SEDC yang untung atau tokey-tokey Cina yang untung?
- Selain itu dalam kes-kes terpilih seperti isu Jihad Ternak Kambing dan Kompleks Perkayuan Kelantan yang diperbincangkan hangat termasuk dalam Dewan Negeri Kelantan baru-baru ini juga hendaklah diambil kira. Isu-isu penting membabitkan peribadi Husam akan terdedah dengan sendirinya apabila hal ini sampai di Mahkamah nanti. Dalam persidangan Dewan Negeri Kelantan baru-baru ini wakil BN telah menyatakan bahawa Husam yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat kerajaan bahkan beliau turut dituduh sebagai seorang ahli politik dan pemimpin parti yang memperjuangkan Islam kononnya, berpura-pura dalam perjuangan dan digambarkan sebagai seorang hipokrit, penipu, mengumpul kekayaan dengan cara yang salah serta menggunakan kedudukan untuk kepentingan peribadi beliau. Adun-adun BN mendakwa beliau mempunyai imej sebagai seorang yang menyalahguna kuasa dan korup.
- Penulis tidak ingin melanjutkan perbicaraan tentang program ekonomi Pas termasuk pelbagai keraguan di dalam urusniaga balak di Terengganu sepanjang pemerintahan Pas di Terengganu antara tahun 1999 - 2004 yang melibatkan orang-orang besar Harakah kerana lebih terperincinya jika kita melayari blog Kapak Janggak yang dikendalikan oleh Sdr Ramli Abdul Halim pemilik permit Mingguan Wasilah yang banyak menyiarkan berita mengenai Pas.
- Penulis juga wajar menyatakan keghairahan penyokong Pas menjelang pilihanraya umum ini sama dengan keghairahan penyokong Pas menjelang pilihanraya umum 1986 dulu. Pada waktu itu nama-nama pemimpin CCC menjadi idola pemimpin Pas. Lain-lain nama yang dijaja oleh Pas sebagai penceramah termasuklah juga Kamal Koh, Ali Abdullah dan Ridwan Ong. Di mana mereka sekarang? Apakah mereka menjadi "kekoran" (alat kukur kelapa) Pas dan setelah Pas kalah teruk pada tahun 1986 mualaf-mualaf ini tidak lagi berguna kepada Pas? Sekarang mereka mengarak merata-rata Gobala sehingga Gobala membaca al-Quran pun mereka bertakbir. "Kegilaan" seperti ini mencacatkan nama baik agama Allah dan Kalamullah. Sungguh memualkan mainan politik PAS.
Sekian….Jumpa lagi Insha-Allah kita akan sambung dengan kisah pemimpin Pas meminta Sdr Anwar bertaubat…….. .............................