Sepanjang karier politiknya Haji Hadi dengan isu negara Islam adalah ibarat saudara kembar. Tidak sah Haji Hadi sekiranya berucap jika tidak menyebut perihal negara Islam walhal perlembagaan Pas sendiri tidak pernah menyebut bahawa Pas mahu mendirikan negara Islam. Bekas Naib Presiden Pas Haji Mustapa Ali sendiri sewaktu diwawancara oleh BBC beberap tahun lalu pun menegaskan bahawa Negara Islam tidak ada dalam perlembagaan Pas. Ertinya perjuangan Pas bukan untuk mendirikan negara Islam.
Ertinya juga penggubal perlembagaan Pas sudah mengakui bahawa Malaysia adalah negara Islam. Oleh itu bagaimana terlintas di pemikiran Haji Hadi pada masa dahulu untuk mendirikan satu lagi negara Islam di Malaysia. Ini bermakna sekiranya seseorang itu sudah berkhatan, Haji Hadi mahu khatankan sekali lagi. Ini sudah kes berat.
Suatu perkara lagi ialah pemimpin Pas menjadikan lidah mereka bercabang apabila bercakap mengenai negara Islam. Kepada masyarakat bukan Islam mereka mengatakan akan mendirikan negara demokratik dan kepada penyokong kuat mereka, pemimpin Pas mendakwa mahu mendirikan negara Islam. Hakikatnya ialah negara Islam sudah ada iaitu negara Malaysia hari ini yang diperintah oleh UMNO.
Penyokong dan ahli Pas sendiri merasa hairan dengan takrif dan pengisian negara Islam yang dikehendaki oleh Haji Hadi. Pada suatu masa mereka mendakwa Malaysia bukan negara Islam tetapi pada masa yang sama Haji Hadi menyertai majlis perasmian Persidangan kesepuloh Negara-negara Islam di Putrajaya pada 11 Oktober 2003. Majlis itu dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Tidakkah dengan kehadiran Haji Hadi itu bermakna beliau mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
Pernah bekas Perdana Menteri meminta Haji Hadi menerangkan bentuk negara Islam yang dikehendaki Pas tetapi Haji Hadi menjawab kita tidak boleh beritahu selagi belum berkuasa.
Di sini jelas Haji Hadi bukanlah seorang yang ikhlas dan jujur dengan konsep perjuangan Islam. Apakah Islam hanya milik mutlak Pas dan orang lain tidak berhak melaksanakannya? Apakah tidak berdosa Haji Hadi menyembunyikan kebenaran sekiranya konsep negara Islam Hadi itu benar seperti mana yang dikehendaki oleh Islam.
Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah ayat 159 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan yang jelas dan petunjuk, setelah kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab, mereka itulah orang yang dilaknat Allah dan dilaknat oleh semua makhluk yang melaknat."
Sikap bagaikan ulama skru longgar Haji Hadi bukan sahaja dengan pemimpin UMNO bahkan dengan pemimpin dan penyokong Pas sendiri apabila di dalam muktamar Pas ke 46 pada bulan September 2003 perwakilan pemuda Pas sendiri mempersoalkan bentuk negara Islam yang Pas inginkan.
Apakah serban, jubah, tongkat khutbah, majlis ceramah, kuliah dan masjid dijadikan alat untuk memancing undi dan mencari makan. Sesuatu yang kita tidak harus lupa ialah bahawa pada 21 Jun 2001 Haji Hadi menegaskan bahawa Pas hanya akan menjelaskan bentuk negara Islam apabila mendapat kuasa di negara ini. Itulah Haji Hadi.
Anehnya juga menjelang pilihanraya umum ke 12 ini Haji Hadi mendakwa mahu menubuhkan negara kebajikan pula. Kenapa beliau tidak lagi menegaskan mahu menubuhkan negara Islam? Apakah maksud negara Kebajikan Haji Hadi? Sebenarnya negara kebajikan telah pun ditubuhkan oleh Britain Mat Saleh, kalau dulu Haji Hadi berkiblat kepada Nabi Muhammad s..a.w. tetapi nampaknya kini Haji Hadi berkiblat kepada Britain pula.
Di dalam Surah Al Baqarah ayat 177 Allah s.w.t. berfirman maksudnya "Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadpkan muka ke timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari akhirat, dan segala malaikat dan segala kitab dan sekelian Nabi, dan menderma seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang yang meminta dan untuk memerdekakkan hamba abdi, dan mengerjakan sembahyang serta mengeluarkan zakat, dan menyempurnakan janjinya apabila berjanji, sabar dalam masa kesempitan, dan masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang sabil, mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman dan mengerjakan kebajikan dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa."
Apakah pula makna kebajikan yang dimaksudkan oleh Haji Hadi? Berdasarkan Harakah keluaran 1-15 Februari 2008 yang mula dijual pada 25 Januari 2008 negara berkebajikan Pas ialah :- Menurunkan harga minyak, pendidikan percuma, khidmat kesihatan percuma, projek pembangunan untuk rakyat, merapatkan jurang antara orang kaya dan miskin.
Alangkah dangkalnya makna kebajikan ala Pas berbanding kebajikan yang difirmankan oleh Allah s.w.t. berdasarkan ayat 177 surah al- Baqarah. Bahkan berdasarkan janji Pas di atas dan realiti yang ada di Kelantan sepanjang 18 tahun memerintah Kelantan kita dapati banyak percanggahan dan penipuan. Bagi mereka yang mengikuti kempen pilihanraya tahun 1990 tercatat satu janji untuk memberikan RM 100 sebulan bagi setiap rakyat yang berumur 60 tahun ke atas. Sekarang di lubuk tasik pauh janggi manakah janji tersebut telah dicampakkan?
Apakah rakyat Kelantan sekarang yang bersekolah di sekolah-sekolah yang ditaja oleh Kerajaan Kelantan dan Institiusi yang ditaja oleh Kerajaan Kelantan mendapat kemudahan tersebut secara percuma? Apa yang kita tahu pelajar di PASTI yang diurus oleh Dewan Pemuda Pas pun terpaksa membayar juga yuran. Maka apakah boleh kita percaya dengan janji Pas untuk memberikan pendidikan percuma? Adakah pelajar di Darul Quran Rusila tidak dikenakan sebarang bayaran?
Nak bercakap boleh tetapi pesan orang tua-tua harus diingat "cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar", nanti kalau dikata orang ukur serban di kepala orang lain marah pula.
Tindakan belum bertelur sudah heboh sebuah kampung, ini lebih teruk daripada telatah ibu ayam. Ayam riuh sekampung pun mampu juga bertelur walau sebiji. Ini belum apa-apa sudah berjanji itu dan ini. Lainlah jika sudah dilaksanakan di Kelantan atau dilaksanakan di Terengganu sewaktu Pas menguasai Terengganu antara tahun 1999 - 2004.
Apakah bayaran letak kereta di Bandar Kota Bharu yang termahal di negara ini iaitu seringgit sejam juga satu kebajikan?
Kesimpulannya samada Pas mahu mencanangkan negara Islam atau negara kebajikan nawaitunya hanya satu iaitu ingin menang pilihanraya, mendapat kuasa, mengkayakan anak beranak tok wakil mengkayu balakkan orang Pas, dan menggula-gulakan rakyat dengan pahala kononnya jika mengundi Pas. Kepada rakyat disebut pahala tetapi kepada pemimpin Pas kenyang cirit. Wallahuaklam.